Random Video

'Bila ada tauke baru, dia burukkan tauke lama'

2019-08-08 4,908 Dailymotion

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata Umno-PAS perlu kekal konsisten dan tidak boleh berubah mengikut keadaan politik semasa.

Katanya, kedua-dua parti itu tidak perlu melayan sekiranya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad cuba mengambil peluang penyatuan ummah demi menyelamatkan beliau dan partinya (Bersatu).

“Yang mesti kita perlu kekalkan persefahaman. Itu dah merupakan komitmen kita.

“Takkan hari ini kita katakan penyatuan ummah, esok kita lompat ke tempat lain pula.

“Orang tak akan percaya pada Umno,” katanya di Wacana Ilmu “Hard Truth: Cash is King” di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam pada itu, Najib tidak menolak kemungkinan beberapa bekas ahli kabinet BN sudah mempunyai ‘tauke’ baru.

“Saya tak berubah. Mungkin mereka yang berubah.

“Tak pasti, mungkin ada tangan ghaib di belakang mereka,” katanya ketika ditanya tindakan beberapa pemimpin kabinet khususnya Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz yang setia bersamanya sebelum PRU14 dan kini mula mengkritik secara terbuka selepas kalah dalam pilihan raya.

“Ada disebut dalam mantra politik iaitu no permanent friends, no permanent enemies, only common interest. (Tiada kawan selamanya, tiada musuh selamanya, hanya kepentingan bersama.)

“Saya syak mereka ada tauke baharu. Orang macam ini, rakyat sendiri akan menilai, mereka sebenarnya merosakkan diri sendiri. Kita kena ada maruah dan prinsip dalam politik,” tambah ahli parlimen Pekan itu.